Friday, May 3, 2013

SUKAN DAN IBADAH


SUKAN DAN IBADAH



Kesyumulan Islam ini terbukti melalui pensyariatan tentang urusan ibadah, politik, ekonomi, kekeluargaan, undang-undang, sukan dan banyak lagi. Hikmahnya adalah supaya kehidupan yang dilalui adalah selari dan tidak menyimpang dari tujuan asal penciptaan manusia itu sendiri iaitu beribadah kepada Allah SWT. Seperti yang termaktub dalam Al-Quran ;
Islam adalah satu nikmat yg telah Allah SWT kurniakan kepada hamba yg disayangiNya, disampaikan kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w melalui perantaraan malaikat Jibril a.s lebih 1400 tahun yang lalu. Islam itu sifatnya syumul, yakni mencakupi seluruh genap kehidupan mahklukNya dalam pelayaran di dunia yang sementara menujuNya. Melalui kalamNya, Al-Quran yang mulia Allah menerangkan setiap inci bagaimana kehidupan ini perlu dilayari yang akhirnya memberikan pulangan syurga dan nikmat kebahagiaan ketika pertemuan denganNya.
“Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu”
(Az-Dzariyat : 56)
Bagi memenuhi tuntutan utama penciptaan manusia itu sendiri, maka pelbagai nikmat telah Allah kurniakan bagi memudahkan manusia ini melaksanakan ibadah kepada Allah SWT. Antara nikmat tersebut adalah kesihatan. Kesihatan adalah salah satu nikmat utama yang diamanahkan kepada setiap manusia. Menjadi tanggungjawab setiap manusia itu untuk menjaga amanah ini dan memeliharanya sebaik mungkin. Kesihatan yang baik akan membuahkan kualiti ibadah dan kehidupan yang lebih baik. Seperti dalam pesanan Wahab al-Munabbih, seorang Tabi’in yang hebat, :
Puncak kebahagiaan ada tiga, pertama ialah nikmat Islam, kedua nikmat kesihatan dan ketiga nikmat kekayaan.”
Sebagai contoh, seseorang yang terlantar sakit akan mempunyai pelbagai halangan dan kesusahan dalam mendirikan solat atau menunaikan ibadah-ibadah utama yang lain. Ini semestinya sedikit sebanyak mempengaruhi kualiti ibadah seseorang itu.
Di dalam Al-Quran surah al-Maarij ayat 34 dan 35, Allah SWT berfirman, “Dan orang-orang yang memelihara solatnya,mereka itu kekal di dalam syurga”
Allah SWT menegaskan kepentingan untuk hambaNya yang beriman dan mengimpikan syurga untuk berusaha memelihara solat mereka. Justeru itu, nikmat kesihatan yang di amanahkan haruslah di jaga sebaiknya dan disyukuri demi memperolehi nikmat kemanisan dalam beribadah kepada Allah SWT.
Persoalannya, bagaimanakah caranya untuk memelihara nikmat kesihatan ini?
Berikut adalah antara cara yang dilakukan oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW;
  • Bangun awal sebelum subuh
  • Aktif dalam menjaga kebersihan diri dan pakaian
  • Tidak pernah makan berlebihan
  • Gemar berjalan kaki
  • Tidak pemarah
  • Optimis dan tidak berputus asa
  • Tidak iri hati
  • Pemaaf
Imam As-Syafie juga ada menyatakan cara-cara menjaga kesihatan;
Empat perkara menguatkan badan1. makan daging
2. memakai haruman
3. kerap mandi
4. berpakaian dari kapas
Empat perkara melemahkan badan1. banyak berkelamin (bersetubuh)
2. selalu cemas
3. banyak minum air ketika makan
4. banyak makan bahan yang masam
Empat perkara menajamkan mata1. duduk mengadap kiblat
2. bercelak sebelum tidur
3. memandang yang hijau
4. berpakaian bersih
Empat perkara merosakan mata1. memandang najis
2. melihat orang dibunuh
3. melihat kemaluan
4. membelakangi kiblat
Empat perkara menajamkan fikiran1. tidak banyak berbual kosong
2. rajin bersugi (gosok gigi)
3. bercakap dengan orang soleh
4. bergaul dengan para ulama
Selain itu juga, bersukan merupakan salah satu cara yang efektif dalam usaha memelihara kesihatan tubuh badan. Seperti yang sedia maklum, bersukan membantu pengaliran darah menjadi lebih lancar maka dengan ini dapat mengelakkan penyakit-penyakit yang membahayakan seperti penyakit jantung, darah tinggi , angin ahmar dan juga menjadikan mental dan fizikal yang cergas. Dengan itu membantu membentuk otak yang cerdas kerana kita memerlukan otak yang cerdas untuk berfikir dan berfungsi dengan lebih baik.
Hal ini sangat penting terutama bagi yang bergelar aktivis dakwah, kerana setiap masa adalah diperuntukkan untuk berfikir mengenai penyelesaian akan perihal ummat. Maka dengan itu, kombinasi kesihatan tubuh badan dan otak yang cerdas akan membantu seorang daei itu cemerlang dalam urusan tarbiyah dan dakwahnya.
Malahan, terdapat hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Muslim bahawa Allah lebih menyukai mukmin yang kuat daripada mukmin yang lemah. Terdapat juga hadis Rasulullah S.A.W yang menggalakkan ibu bapa mengajar anak-anak mereka berenang, memanah dan menunggang kuda. Hal ini turut diberi penekanan oleh Nasih Ulwan dalam bukunya Tarbiyah al-Aulad sebagai salah satu bentuk pendidikan awal kepada kanak-kanak dari sudut pembinaan kekuatan fizikal. Oleh hal yang demikian jelaslah bahawa Islam juga sangat menitik beratkan pembentukan jasmani yang sihat sejak kecil lagi.
Namun begitu, terdapat adab-adab yang perlu dipatuhi dalam keseronokkan bersukan dan telah digariskan oleh Islam supaya bersukan ini juga boleh menjadi salah satu ibadah kita kepada Allah SWT. Sheikh ‘Atiyyah Saqr, bekas Ketua Jawatankuasa Fatwa Al- Azhar, menghuraikan adab sukan dengan menyatakan yang berikut;
  1. Seseorang Muslim tidak sepatutnya lalai dengan sukan sehingga sampai mendorong meninggalkan tugas-tugas agama dan yang lain.
  2. Seseorang Muslim tidak dibenarkan bersikap tidak peduli dalam bersukan dengan cara menimbulkan kecederaan kepada yang lain. Bersukan di atas jalan yang sesak misalnya, boleh menyebabkan kesesakan jalan, ini bukan cara Islam.
  3. Perasaan fanatik membabi-buta dalam menyokong atau menentang satu pasukan adalah tiada kaitan dengan Islam, kerana ini benar-benar becanggah dengan ajaran Islam yang menyeru kepada perpaduan dan kasih-sayang.
  4. Tidak dibenarkan kata-kata kesat, perbuatan buruk dan fitnah semasa bersukan.
  5. Islam tidak membenarkan pertandingan atau permainan yang melibatkan kedua-dua jantina, dengan cara membuka jalan hawa nafsu, syahwat dan keruntuhan akhlak.
  6. Islam menolak semua permainan dan sukan yang mendorong rangsangan seksual dan menggalakkan kejatuhan moral seperti wanita berlatih menari dan ditontoni oleh orang ramai.
  7. Lelaki hendaklah mengamalkan sukan yang sesuai dengan sifat mereka dan sebaliknya. Di dalam Islam, tidak dibenarkan bagi wanita mengamalkan sukan yang khas untuk lelaki.
Kesimpulannya, mukmin yang hebat itu adalah mukmin yang menjaga setiap nikmat yang dipertanggungjawabkan kepadanya dan berusaha menjaga kualiti ibadahnya. Bersukan terbukti berkesan dalam membantu memperbaiki mutu ibadah seseorang mukmin melalui kepatuhan dengan adab-adab ketika bersukan dan meningkatkan kesihatan diri dalam ketaatan kepada Allah SWT. Oleh itu, bersama-samalah kita berazam menjadi mukmin yang kuat tubuh badannya dan juga kuat dalam beramal

No comments:

Post a Comment